Saturday, December 30, 2017

Macai



Baru-baru ini, saya mengikuti satu ceramah politik yang disampaikan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sebuah parti dan kerajaan. Antara kata-katanya yang diulang-ulang dengan penuh rasa bangga ialah beliau sanggup menjadi “macai” kepada pemimpin yang ada sekarang kerana ketokohan dan kehebatan pemimpin tersebut.

Saya cuba mencari apakah makna perkataan “macai”?

Penulis blog http://ipohmalay.blogspot.my/ mengatakan bahawa perkataan itu berasal daripada dua perkataan China yang digabungkan, iaitu “ma” yang bererti kuda atau singkatan daripada melayu yang disebut dalam Bahasa China malai.
Manakala “cai” bermaksud 'si kecil, si muda , atau binatang yang muda'.
Bila digabungkan “ma” dengan “cai” maka ia membawa maksud “budak yang diperkudakan”.
Kata penulis, perkataan macai  tidak wujud dalam kamus bahasa Cina di Tanah Besar China dan ia merupakan perkataan yang lahir di Tanah Melayu.

Cikgu Rozi menulis di dalam blognya http://cikgurozikasim.blogspot.my/ bahawa beliau tidak dapat menjumpai entri kata perkataan “macai” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Selain itu, beliau juga tidak menjumpai maksud perkataan “macai” dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Mengikut laman web PRPM, perkataan “macai” tidak terdapat dalam pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka dan belum diterima sebagai perkataan rasmi bahasa Melayu. Selain itu dalam laman web Malay Concordance Project juga tiada perkataan “macai” ditemui.

Kata beliau lagi, meskipun perkataan tersebut masih tiada di dalam entri kamus tetapi perkataan itu digunakan dengan meluas di laman-laman sosial yang berunsurkan politik. Maka sudah pastilah perkataan “macai” mempunyai maksud yang tersendiri walaupun tiada di dalam entri kamus kerana kita perlu sedar bahawa otak manusia lebih cepat daripada kamus. 
Sering kali kita mendengar bahawa perkataan “macai” itu sebenarnya didenotasikan kepada perkataan “pencacai”. Denotasi bermaksud sesuatu ungkapan atau perkataan itu dirujukkan kepada sesuatu objek, benda, orang, tempat, dan lain-lain (Norsimah Mat Awal, 2014).

Jika perkataan “macai” merujuk kepada “pencacai”, jadi kita harus lihat maksud sebenar bagi “pencacai”. Namun malangnya, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan laman web PRPM, perkataan “pencacai” atau “cacai” merupakan perkataan yang tidak wujud. Tetapi yang peliknya di sini bahawa Tan Sri P. Ramlee telah menggunakan perkataan “pencacai” ini di dalam filem 3 Abdul pada tahun 1964.

Maka beliau membuat kesimpulan: “berdasarkan pemerhatian penulis terhadap penggunaan perkataan “macai” ini, perkataan ini lebih merujuk kepada orang yang terlalu taksub dengan sesuatu parti politik itu. Parti politik yang dimaksudkan ini bukan sahaja parti kerajaan yang memerintah ketika ini, tetapi juga merujuk kepada parti pembangkang di Malaysia ketika ini. Hal ini disebabkan apabila kita pergi ke “page’ facebook seperti Friend’s Of Barisan Nasional, Anwar Ibrahim, dan lain-lain, penggunaan perkataan “macai” ini akan ditujukan kepada pengikut yang terlalu taksub. Mereka akan menulis perkataan seperti “macai BN”, “macai Anwar Ibrahim”.

Jelas bahawa kedua-dua maknanya “budak yang menjadi kuda tunggangan” sebagaimana pendapat penulis blog ipohmalay atau “orang yang terlalu taksub” sebagaimana pendapat Cikgu Rozi, sifat tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Taksub adalah satu ciri golongan jahiliah. Slogan mereka adalah “Bantulah saudaramu dan berpihaklah kepadanya sama ada dia zalim atau dizalimi”.
Sikap sedemikian ditentang oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda maksudnya, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiah (taksub)” Riwayat Abu Daud. Status hadis ini adalah dhaif. Namun maksudnya selari dengan beberapa hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Manakala makna “budak yang menjadi kuda tunggangan” pula jelas menggambarkan sifat serta sikap yang sangat hina yang tidak layak dimiliki oleh makhluk bernama manusia yang dianugerahi akal yang sempurna. Al-Quran selalu mengingatkan kita agar tidak mengikuti sesuatu atau seseorang secara membabi buta, tanpa mengetahui hakikat sebenarnya apa yang diikuti itu sama ada betul atau salah.
Di antara ayat-ayat yang mengandungi maksud sedemikian adalah firman Allah yang mafhumnya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (Al-Baqarah 2:170)


Memang kita dituntut supaya taat setia kepada pemimpin. Namun ketaatan dan kesetiaan mestilah dengan syarat pemimpin berada di landasan yang benar. Kita tidak dituntut mencapai tahap “macai” yang tahu ikut saja tanpa mengira benar atau salah.